Disebalik kisah Topeng Guy Fawkes

Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Topeng Guy Fawkes

Selalu penulis tengok topeng putih yang tergantung dekat belakang cermin kereta. Kulit putih melepak, senyumannya yang melebar dan pipi yang merah, misai panjang yang bergulung dihujung macam A. Galak  dan janggut yang nipis dan menegak. Lebih menakutkan, kalau kita mengekor kereta dari belakang, terkejut kita tetiba tersuluh topeng putih ini. Bukan hanya digantung di belakang kereta, kadang-kadang, semasa demostrasi, ada sekumpulan peserta yang pakai topeng ini dan berarak melakukan protes.

Siapakah pemilik topeng tersebut? Apakah sejarah disebalik topeng tersebut?  Jom kita layan sedikit info yang boleh merungkai misteri topeng ini.

Topeng ini berasal dari kisah seorang warga England yang bernama Guy Fawkes yang cuba meletupkan ‘House of Lord’ pada sekitar tahun 1605 tetapi menemui kegagalan.

Apa itu ‘House of Lord’? ‘House of Lord’ kalau dekat Malaysia lebih kurang fungsi dia macam bangunan parlimen. Cuba bayangkan, pada zaman sekarang ada orang cuba meletupkan sebuah bangunan parlimen yang menjadi simbol kedaulatan sesebuah negara.  Mesti satu negara menjadi gempar. Begitu jugalah kisah Encik Guy Fawkes ini yang akhirnya dihukum gantung pada 31 Januari tahun berikutnya.

Filem V for Vendetta yang diterbitkan pada tahun 1982 dan adaptasinya pada tahun 2005 pula telah mempopularkan lagi pemakaian topeng ini.  Setelah itu, topeng ini mula popular dikalangan ‘hackers’ yang menggelarkan diri mereka Anonymous. Banyak juga aktivis-aktivis yang memakai topeng ini bagi menunjukkan protes terhadap kerajaan atau organisasi di seluruh dunia. Seakan siapa yang pakai topeng ini melambangkan seseorang itu menentang polisi atau undang-undang yang tidak adil.

Siapakah Encik Guy Fawkes ini? Beliau dilahirkan pada tahun 1570 di York, England dan seorang penganut ajaran Kristian Katholik.

Apakah motif Guy Fawkes meletupkan bangunan parlimen England? Semasa zaman tersebut, kebanyakkan pembesar dan orang kaya termasuklah raja mereka menganut ajaran Kristian Protestant. Orang biasa pula seperti petani dan pekerja kebanyakkan menganut ajaran Kristian Katolik. Oleh itu, timbul ketidakpuasan dikalangan rakyat kebanyakkan yang ingin mengembalikan ajaran kristian yang sebenar di peringkat nasional.

Rancangan ini dinamakan sebagai Gunpowder Plot 1605. Guy Fawkes dan rakan-rakannya telah merancang untuk meletupkan bangunan parlimen semasa parlimen kali pertama bersidang pada tahun tersebut.

Guy Fawkes telah secara senyap-senyap mengumpul sehingga 36 tong serbuk letupan didalam satu bilik yang terletak di bawah bangunan parlimen.

Kalau dah ramai orang yang terlibat dalam rancangan ini mestilah ada yang terlepas cakap kan. Satu surat yang tidak bernama telah dihantar kepada salah seorang ahli parlimen memberitahu bahawa bangunan parlimen akan diletupkan sebaik sahaja mula bersidang.

Hasil maklumat daripada surat layang tersebut, encik Fawkes telah ditemui oleh pengawal yang melakukan pemeriksaan di bawah bangunan parlimen. Fawkes telah dijatuhkan hukuman gantung pada 31 Januari 1606, tetapi sebelum digantung beliau telah terjatuh dari platform tempat pergantungan dan beliau mati di tempat kejadian akibat patah leher.

Sejak dari peristiwa tersebut, negara Britain telah menyambut hari Bonfire atau Malam Guy Fawkes bagi memperingati rancangan meletupkan bangunan parlimen yang tidak berjaya.  Begitulah cerita disebalik topeng Guy Fawkes yang sering kita lihat dipakai oleh protester atau dihiasi dibelakang cermin kereta ataupun dibuat hiasan di rumah.


Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •