Malaysia : Bumi yang Bertuah

Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia

Pernahkan anda terfikir mengapakah negara kita tidak mempunyai gempa bumi, taufan atau gunung berapi sedangkan jiran-jiran kita mempunyai bencana alam tersebut. Cuba kita lihat jiran kita di sebelah timur iaitu Filipina, mereka mempunyai gunung berapi dan ribut taufan yang kerap. Indonesia yang berada di barat kita juga mempunyai jaringan gunung berapi yang aktif dan kerap berlakunya gempa bumi. Boleh dikatakan kiri dan kanan negara Malaysia dikelilingi oleh negara yang mempunyai bencana alam.

Malaysia adalah negara yang sangat unik dan bernasib baik. Terletak di luar lingkaran api pasifik, Malaysia adalah negara yang selamat dari banyak bencana alam yang besar.

Menerusi satu perkongsian di laman sosial, menunjukkan kejadian gempa bumi dan taufan yang melanda Asia Tenggara selama lebih dua dekad, kita dapat lihat bahawa hampir keseluruhan Tanah Malaysia bebas dari kedua-dua bencana alam tersebut.

Rekod gempa bumi dan ribut taufan selama 25 tahun. (Gempa bumi ; merah, taufan ; biru)

Sebab itu, satu masa dahulu, selat Melaka sangat terkenal dikalangan pedagang kerana pelabuhannya yang tenang menyebabkan banyak kapal-kapal dagang berlabuh di pelabuhannya.Sehingga sekarang, Selat Melaka adalah antara laluan kapal perdangangan yang paling sibuk di dunia dengan anggaran 40 peratus dagangan dunia.

Malaysia juga adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai wilayah di tanah besar Benua Asia dan Kepulauan Melayu (Borneo). Manakala Tanjung Piai yang terletak di negeri Johor adalah kawasan yang paling hujung bagi Benua Asia.

Gua Mulu pula yang terletak di Sarawak pula adalah jajaran gua yang paling besar di dunia dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Badan Konservasi Antarabangsa telah menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara megadiversiti di dunia. Bermaksud, negara Malaysia kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang tiada di negara lain. Dianggarkan terdapat lebih 20 peratus spesies haiwan di dunia ini berada di Malaysia. Terdapat juga lebih kurang 210 spesies mamalia, 620 spesies burung , 250 spesies reptilia, 600 spesies terumbu karang,  1200 spesies ikan dan 4000 spesies kulat. Dikatakan terdapat banyak lagi spesies kulat yang tidak di rekodkan dan kalau dijumpai adalah penemuan baru dalam bidang sains. Bunga yang terbesar di dunia iaitu bunga Raflesia atau lebih dikenali sebagai bunga Pakma dikalangan penduduk tempatan boleh dijumpai di hutan Malaysia. Hutan hujan tropika di Malaysia adalah hutan hujan yang paling tua di dunia dengan umur sekitar 130 juta tahun. Kawasan hutan paya bakau Malaysia pula adalah yang ketiga terbesar di dunia hanya selepas negara Brazil.

Cuaca di Malaysia pula adalah panas dan lembab sepanjang tahun menjadikan segala aktiviti dapat dijalankan tanpa perlu risau akan cuaca. Anda boleh berbasikal, bermain bola, bersenam dan bermacam-macam lagi aktiviti jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang terpaksa tinggal di rumah jika cuaca terlalu sejuk. Masa malam dan siang yang hampir sama panjang sepanjang tahun juga membolehkan rakyat Malaysia membahagikan masa dengan senang. Rakyat Malaysia juga boleh ‘melepak’ di kedai mamak yang dibuka sehingga 24 jam sehari.

Bersyukurlah kita sebagai sebahagian dari rakyat Malaysia. Negara yang sangat bertuah dan ramai yang mencemburuinya. Kita selalu mengagung-agungkan negara luar sedangkan “hujan emas di negeri orang, hujan batu Di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri”. Negara Malaysia sememangnya layak digelar ‘Malaysia Truly Asia’.

Laman web International Living telah menyenaraikan Malaysia diantara  10 buah Negara Terbaik Untuk Bersara bagi warga asing pada tahun 2019. Menunjukkan betapa rakyat di luar sana sangat mengagumi segala aspek yang ada di negara Malaysia. Sudah tentulah, kita juga mempunyai kelopongan dan kekurangan di sana sini bak dari segi politik, kebersihan dan ekonomi, tetapi kita dianugerahkan dengan tanah yang bertuah dinamakan Malaysia dan harus berbangga dengannya.


Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *