Motivasi – 5 Pilihan Motivasi Hidup Terbaik

Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

1. Sekolah dan kehidupan

Motivasi : Sekolah dan kehidupan
Motivasi : Sekolah dan kehidupan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga kita diberikan hidayah dan ketenangan dalam menghadapi pelbagai musibah yang timbul. Doakan juga keselamatan dan kesihatan kita semua ketika sedang bekerja dikala musim wabak covid-19 ini. Semoga rezeki yang diperolehi tersebut dengan tulang empat kerat kita diberkati oleh Allah SWT.

Pada kali ini, kita berbicara tentang ujian yang sering kita hadapi dalam menempuh alam kehidupan didunia ini. Ujian datang dalam pelbagai bentuk samada nikmat atau kepayahan.

Apabila diuji dengan nikmat dan kekayaan jangan dilupa dimana kita pada awalnya. Jangan dilupa juga orang yang pernah menolong kita dikala susah dan jangan memandang rendah kepada yang lain. Mendongak dan bertongkatkan langit itu tidak perlu dan tidak patut ada didalam kamus hidup kita.

Apabila kita susah pula, jangan kita terus menerus menyalahkan takdir dan tidak berusaha untuk mengatasinya. Percayalah bahawa Allah akan memberikan ganjaran kepada orang yang bersabar seperti firmanNya dalam Surah al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. .

Oleh itu, jangan kita beburuk sangka terhadap ujian yang mendatang kerana Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Kembali semangat wahai sahabat. Kita pasti berjaya mengharunginya !

2. Tidak semua yang faham perjalanan hidup kita

Motivasi : Tidak semua yang faham perjalanan hidup kita
Motivasi : Tidak semua yang faham perjalanan hidup kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dirahmati sekalian. Semoga kalian semua dimurahkan rezeki dan diberikan nikmat kesihatan yang baik bagi meneruskan cabaran hidup di muka bumi Allah ini. Semoga juga rezeki yang kalian semua cari demi isteri, anak-anak dan keluarga diberkati oleh Allah SWT.

Kali ini kita berbicara mengenai kehidupan yang sering dijadikan perbandingan antara satu sama lain. Segala keputusan dan perbuatan kita demi kelangsungan acap kali dinilai oleh orang sekeliling walaupun keputusan itu baik untuk kita dan keluarga.

Kita pula terikut-ikut dengan rentak mereka. Sudahnya, apa yang kita mahukan tidak kesampaian dan terkubur. Kisah Luqman Al Hakim dengan anaknya dan seekor keldai dibawah ini wajar diambil iktibar.

KAMPUNG PERTAMA

Ketika melalui kampung pertama, Luqman Al Hakim menarik keldai yang sedang dinaiki oleh anaknya. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama dengan seekor keldai. “Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadap dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai! Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”

KAMPUNG KEDUA

Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan kedua. Kali ini Luqman menunggang keldai tersebut dan anaknya yang menarik tali. Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Penduduk kampung itu berasa ganjil dengan tingkah laku Luqman dan anaknya. Mereka mula mencela dan berkata: “Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan. Sibapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya sianak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!”

KAMPUNG KETIGA

Di kampung ketiga pula, kedua-dua beranak tersebut menunggang keldai tersebut. Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar, tiba-tiba orang ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!” Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”

KAMPUNG KEEMPAT

Pada kali ini Luqman al Hakim dan anaknya tidak menaiki keldai tersebut dan mereka berdua hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat mereka diperkatakan lagi oleh masyarakat di situ pula. Mereka berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat yang sedia ada!”

PASAR

Pada kali ini, Luqman dan anaknya tidak menunggang,  tetapi mereka memikul keldai pula keldai tersebut. Setibanya ke destinasi terakhir di pasar, kali ini keriuhan pasar bertambah apabila melihat perbuatan Luqman dan anaknya bersama seekor keldai yang dipikul mereka.  “Ah, gila, tidak masuk akal. Sepatutnya orang yang menunggang keldai, bukan keldai yang dipikul!” Akhirnya, tanpa mahu mendengar sebarang kritikan lagi, keldai itu dijual di pasar tersebut. Luqman al-Hakim berkata kepada anaknya. “Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa mengambil dan mengharap kepada pandangan orang, tiada yang akan berubah. Sesungguhnya tidak terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain. Orang yang berakal tidaklah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.”Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT.”

3. Tidak pernah merasa cukup

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga kalian semua diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menempuh cabaran kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini.

Hari ini kita berbicara tentang kehidupan yang membuatkan kita rasa cukup dan gembira. Seringkali kita melihat kepada apa yang kita tiada daripada melihat kepada apa yang sudah kita peroleh. Kadangkala kita tidak nampak kebaikan kecuali sesuatu perkara itu telah pergi selamanya. Kita rasakan sesuatu yang baru boleh mendatangkan kegembiraan, tetapi adakalanya tidak seperti yang kita jangkakan. “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui (Al Baqarah 216).

Bagaimana hendak rasa gembira dalam kehidupan? Ikut langkah dibawah dan praktikkan dalam kehidupan anda.

1. Sentiasa positif
2. Raikan sekecil-kecil kejayaan
3. Seimbangkan antara kehidupan peribadi dan kerja
4. Cari hobi yang diminati
5. Menerima ketidaksempurnaan
6. Buat apa yang kita suka.
7. Bersyukur dengan apa yang ada
8. Berhenti daripada runsing dan risau daripada perkara yang tidak penting
9. Keluar dan berkawan dengan orang yang sentiasa positif
10. Mengingati kenangan-kenangan manis.

Selamat mencuba, jika tidak semua hanya satu sahaja sudah memadai. Buat apa yang termampu. Anda pasti BERJAYA.

4. Bersyukur atas apa yang ada

Motivasi : Bersyukur atas semua yang ku ada
Motivasi : Bersyukur atas semua yang ku ada

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga anda semua diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menempuh kehidupan sehari-harian.

Pada kali ini, kita akan berbicara mengenai syukur diatas semua nikmat yang dikurniakan. Masih diberikan nafas untuk terus hidup dimuka bumi ini.

Kenapa kita patut bersyukur?

1. Kerana masih sihat dan diberikan kehidupan yang mungkin orang lain tidak kecapi. Masih ada orang didalam dunia ini mati akibat kelaparan, wabak dan kemiskinan. Beruntunglah kita dapat makan paling kurang 2 kali sehari berbanding mereka.

2. Masih mempunyai tempat berteduh. Biarlah sekecil mana pun rumah kita hatta menyewa sebuah bilik, kita patut bersyukur kerana dapat berlindung dari panas mentari dan hujan batu. Ramai yang terlupa masih ada yang tidur berbumbungkan langit dan beralaskan kotak diluar sana.

3. Masih mempunyai kerja.  Dikala wabak Covid-19 ini, ramai yang telah dibuang kerja dan akan dibuang kerja kerana syarikat sudah tidak mampu lagi membayar gaji. Berapa banyak diantara kita yang  mengeluh kerana syarikat telah membuka operasi. Bekerjalah dengan ikhlas demi memberikan rezeki yang halal buat pasangan, anak-anak, ibu bapa dan keluarga.

Kesimpulannya, jika kita ingat walaupun salah satu perkara diatas, kita pasti merasa syukur untuk nikmat yang diberikan. Ada diantara kita yang telah ditarik kelebihan ini. Apabila sudah tiada, barulah kita akan merasa lebih menghargai sesuatu.

5. Masa terbaik adalah masa untuk diri sendiri

Motivasi : Masa terbaik adalah masa untuk diri sendiri
Motivasi : Masa terbaik adalah masa untuk diri sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga kita semua berada dalam keadaan sihat dan diberikan kekuatan untuk menempuh dugaan, cabaran, dan pahit getir kehidupan.

Motivasi kali ini berkisar tentang masa yang amat penting kepada diri kita iaitu masa untuk diri sendiri.

“Masa yang paling penting didalam dunia ini adalah masa untuk kebaikan diri sendiri”

Kenapa kita perlukan masa untuk diri sendiri? Ahli psikologi membuat kajian bahawa masa untuk diri sendiri membantu otak untuk mereset kepada keadaan asal. Ia juga membantu kita meleraikan keserabutan didalam otak. Selain itu, masa untuk diri sendiri membantu kita meningkatkan daya fokus dan konsentrasi. Tambahan lagi, ia juga dapat menjadikan kita lebih produktif untuk menghadapi hari-hari yang mencabar. Ia juga dapat memberikan kita ruang untuk mencari identiti diri dan meneroka potensi diri. Semasa kita dalam masa untuk diri sendiri, kita juga berpeluang untuk berfikir dengan lebih dalam tentang sesuatu masalah atau isu. Ia juga membantu kita menyelesaikan masalah yang rumit. Yang paling penting adalah ia membantu untuk meningkatkan hubungan sesama isteri, suami, anak-anak dan keluarga.

Kajian oleh sebuah Universti diluar negara menunjukkan bahawa, kekurangan masa untuk diri sendiri adalah antara salah satu penyebab terbesar masalah rumah tangga. Kebiasaannya kaum Hawa mempunyai masa untuk diri sendiri kurang daripada lelaki. Berbanding lelaki, wanita menghabiskan masa lebih 10 jam seminggu untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh baju, sidai baju, lipat kain, masak, basuh pinggan, kemas dapur, sapu lantai, mop lantai, kemas tempat tidur, jaga anak, mandikan anak dan banyak lagi.

Bagaimana nak dapatkan masa untuk diri sendiri ini? Selalunya kekangan masa lebih-lebih lagi bagi pasangan yang bekerjaya menyebabkan kita tidak punya masa untuk masa untuk diri sendiri. Satu kajian di negara British mendapati kualiti masa yang dihabiskan untuk diri sendiri adalah lebih penting daripada kuantiti masa. Bermaksud boleh sahaja, masa yang sedikit lebih berkualiti daripada masa yang banyak dihabiskan untuk masa untuk diri sendiri. Untuk mendapatkan masa untuk diri sendiri ini, anda boleh setkan jam bangun pagi 30 minit lebih awal dari ahli keluarga yang lain. Cuba untuk dapatkan masa untuk diri sendiri seawal pagi kerana pada masa tersebut anda mempunyai semangat dan tenaga yang masih fresh. Jauhkan diri daripada media sosial kerana kita akan membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Jika di pejabat, cuba keluar untuk makan tengah hari di tempat-tempat yang tenang. Anda juga boleh menjadualkan hari-hari tertentu pada kalendar anda untuk masa untuk diri sendiri.

Masa untuk diri sendiri ini tidak tertakluk kepada bersendirian sahaja, membuat perkara yang anda minat juga adalah salah satu masa untuk diri sendiri seperti menonton Netflix, Youtube atau drama korea. Salah satu cara untuk diri sendiri juga adalah berjumpa kawan, berborak dengan jiran, bersosial dan berkomunikasi. Untuk lebih berkesan, kita boleh melakukan senaman yang mengeluarkan peluh dan yang melajukan degupan jantung. Ini kerana apabila kita bersenam dan mengeluarkan peluh, hormon yang bernama endorfin akan dikeluarkan. Lebih banyak hormon ini dikeluarkan, semakin kita berasa gembira dan stress pun hilang.

Kata-kata memainkan peranan dalam mendapatkan masa untuk diri sendiri ini. Jangan cakap dengan pasangan “Saya perlukan ruang”. Tetapi kongsi dengan pasangan anda apa yang anda lakukan seperti “Sayang, saya join kelab menjahit dan masak-masak bersama jiran tetangga”. Kata-kata seperti “Aku dapat meluangkan masa dengan anak-anak” adalah lebih bermakna daripada ” Aku kena luangkan masa untuk anak-anak ini”. Apabila minda menerima kata-kata yang positif, kita akan menjadi lebih bersyukur dan ikhlas dalam membuat sesuatu.

Kurang masa dan kekangan kewangan untuk travel? Tak apa, mengikut satu kajian jika kita membeli sesuatu barang yang memberikan kita pengalaman perasaannya adalah sama seperti kita melancong. Barang tersebut adalah seperti buku, alat muzik, peralatan sukan atau video game.

Akhir sekali, tidur yang cukup sangat penting untuk setiap orang. Kekurangan masa tidur akan menyebabkan perasaan negatif senang untuk datang. Beri ruang untuk pasangan mendapatkan tidur yang cukup.

Secara kesimpulannya, masa untuk diri sendiri ini sangat penting untuk kita berfungsi secara normal. Kalau mengikut kajian, wanita lebih memerlukan masa untuk diri sendiri berbanding lelaki. Beri ruang untuk pasangan anda masa untuk diri sendiri atau ciptakan masa untuk mereka. Salah satu punca postpartum (baby blues)  juga adalah kurang masa untuk diri sendiri. Ingat, kita hidup bukan untuk diri kita sendiri sahaja. Saling melengkapi termasuk juga memberi ruang kepada pasangan masing-masing.

Baca artikel lain disini : Motivasi : Disebalik Senyuman


Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •