Motivasi : Tidak semua yang faham perjalanan hidup kita

Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Motivasi : Tidak semua yang faham perjalanan hidup kita
Motivasi : Tidak semua yang faham perjalanan hidup kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang dirahmati sekalian. Semoga kalian semua dimurahkan rezeki dan diberikan nikmat kesihatan yang baik bagi meneruskan cabaran hidup di muka bumi Allah ini. Semoga juga rezeki yang kalian semua cari demi isteri, anak-anak dan keluarga diberkati oleh Allah SWT.

Kali ini kita berbicara mengenai kehidupan yang sering dijadikan perbandingan antara satu sama lain. Segala keputusan dan perbuatan kita demi kelangsungan acap kali dinilai oleh orang sekeliling walaupun keputusan itu baik untuk kita dan keluarga.

Kita pula terikut-ikut dengan rentak mereka. Sudahnya, apa yang kita mahukan tidak kesampaian dan terkubur. Kisah Luqman Al Hakim dengan anaknya dan seekor keldai dibawah ini wajar diambil iktibar.

KAMPUNG PERTAMA

Ketika melalui kampung pertama, Luqman Al Hakim menarik keldai yang sedang dinaiki oleh anaknya. Orang ramai mula memerhatikan mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama dengan seekor keldai. “Mengapa kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki? Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadap dan tercela anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai! Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua. Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum kepada dia?”

KAMPUNG KEDUA

Dalam perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan kedua. Kali ini Luqman menunggang keldai tersebut dan anaknya yang menarik tali. Ketika itu, semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Penduduk kampung itu berasa ganjil dengan tingkah laku Luqman dan anaknya. Mereka mula mencela dan berkata: “Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu kepenatan sepanjang perjalanan. Sibapa lebih besar daripada kanak-kanak itu dan sepatutnya sianak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut!”

KAMPUNG KETIGA

Di kampung ketiga pula, kedua-dua beranak tersebut menunggang keldai tersebut. Namun, setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar, tiba-tiba orang ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!” Mereka berkata kepada Luqman dan anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”

KAMPUNG KEEMPAT

Pada kali ini Luqman al Hakim dan anaknya tidak menaiki keldai tersebut dan mereka berdua hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat mereka diperkatakan lagi oleh masyarakat di situ pula. Mereka berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat yang sedia ada!”

PASAR

Pada kali ini, Luqman dan anaknya tidak menunggang,  tetapi mereka memikul keldai pula keldai tersebut. Setibanya ke destinasi terakhir di pasar, kali ini keriuhan pasar bertambah apabila melihat perbuatan Luqman dan anaknya bersama seekor keldai yang dipikul mereka.  “Ah, gila, tidak masuk akal. Sepatutnya orang yang menunggang keldai, bukan keldai yang dipikul!” Akhirnya, tanpa mahu mendengar sebarang kritikan lagi, keldai itu dijual di pasar tersebut. Luqman al-Hakim berkata kepada anaknya. “Wahai anakku, sekiranya kamu sentiasa mengambil dan mengharap kepada pandangan orang, tiada yang akan berubah. Sesungguhnya tidak terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Sikap manusia tidak akan berasa senang dan gembira dengan orang lain. Orang yang berakal tidaklah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja dan sesiapa memahami kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.”Yakinlah akan dirimu sendiri dan setelah dilaksanakan sebaiknya, maka bertawakallah kepada Allah SWT.”


Kongsi Artikel ini :
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •